Biasiswa pelajar bijak untuk lepasan SMA
PUTRAJAYA 5 Feb. - Kerajaan akan memberikan biasiswa Yayasan 1Malaysia Development Bhd. (MDB) mulai tahun ini kepada para pelajar cemerlang lepasan Sekolah Menengah Agama (SMA) untuk menyambung ke peringkat ijazah sarjana muda perubatan di Mesir.
Mengumumkan demikian, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian itu diharapkan dapat melahirkan para doktor yang berintegriti serta mampu menguasai ilmu al-Quran dan sains.
Pada masa sama, kata beliau, ia diharap dapat menjadi tokoh inovasi perubatan kepada masyarakat dan negara.
''Bagaimanapun bidang-bidang pengajian yang strategik akan turut dipertimbangkan oleh yayasan tersebut seperti perbankan Islam," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada perjumpaan bersama ulama dan umara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Najib berkata, kepentingan mendalami ilmu pendidikan adalah penting untuk umat Islam yang banyak didepani pelbagai permasalahan baru serta isu berkaitan Islam semasa, syariah, perundangan, perubatan dan ekonomi.
''Dalam erti kata lain, saluran sekolah agama tetap akan diberikan bantuan yang sewajarnya oleh kerajaan.
''Melalui ini, akan wujudlah realiti generasi Ulul Albab seperti yang disebutkan dalam al-Quran dan inilah generasi Ulul Albab yang ingin dibangunkan," katanya.