This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

04-6521096

Sunday, April 20, 2014

Kementerian Rancang Lancar KSSM KSSR Pada 2017 - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelajaran merancang melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menjelang 2017.

Kurikulum sekolah di kedua-dua peringkat rendah dan menengah akan disemak semula bagi menerap gabungan ilmu dan kemahiran yang seimbang seperti fikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan.

Kurikulum baru itu juga akan menyokong jalur pembelajaran yang dipertingkat untuk pelajar berprestasi tinggi menyelesaikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa empat dan bukan lima tahun, dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam masa lima dan bukan enam tahun.

Ini terkandung dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini Selasa.

Ia dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran di majlis itu.

Ketika membentangkan dokumen itu, Muhyiddin berkata: "Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring pelaksanaan kurikulum baru.

"Sebagai contoh, UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi (higher-order thinking questions)."

Apa yang diperkatakan Muhyiddin itu mencakupi satu daripada 11 anjakan yang dicadang direalisasikan dalam pelan itu bagi tempoh 13 tahun akan datang untuk mentransformasi sektor pendidikan negara.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pelan itu bercadang melanjutkan tempoh pendidikan wajib daripada enam tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem pendidikan, termasuk memperluas jalur pendidikan dan latihan teknik dan vokasional.

Kerajaan juga berhasrat meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid Orang Asli dan kumpulan minoriti serta murid kelainan upaya (OKU) supaya mereka juga menikmati peluang pembelajaran sama dengan murid lain.

Menyentuh penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris pelajar yang digariskan dalam anjakan kedua, Muhyiddin berkata kementerian mahu meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun.

Selain itu, pelajar akan diberi pendedahan lebih meluas terhadap Bahasa Inggeris melalui modul Sastera Inggeris yang diwajibkan kepada pelajar sekolah menengah.

Kementerian juga merancang memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia standard di peringkat rendah, menurut pelan pembangunan awal itu.

Ia menyatakan setiap pelajar sekolah rendah, tidak kira sama ada mereka di sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan, akan menggunakan kurikulum itu mulai kohort Tahun 4 pada 2014.

Ia berkata pelajar sekolah jenis kebangsaan yang menghadapi kesulitan dengan perubahan ini akan mengikuti kelas Bahasa Malaysia tambahan lepas sekolah dari Tahun 4 hingga 6.

Matlamatnya ialah untuk mencari penyelesaian awal dan membolehkan penghapusan kelas 'Remove' atau 'Peralihan' mulai 2017 dan seterusnya.

"Kementerian juga akan menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, Tamil atau Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa lain," kata Muhyiddin.

Menerusi anjakan ketiga berkenaan 'develop values-driven Malaysians' (membina warga Malaysia yang berpandukan nilai), beliau berkata pedagogi Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral akan disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan, simulasi, perbincangan, dan tugasan dalam kumpulan kecil.

"Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan murid Islam dan bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar," katanya.

Lapan anjakan lain yang dikupas Muhyiddin mencakupi usaha mentransformasi profesion perguruan; memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah; mengupaya Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan; memanfaat ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran; mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan di pihak kementerian.

Anjakan lain melibatkan usaha memperluas jalinan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta; memaksimum pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan; dan meningkatkan akauntabiliti awam.

Muhyiddin berkata keseluruhan anjakan ini akan memberikan impak yang besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara.

"Sekiranya semua 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan untuk tempoh 13 tahun akan datang, rakyat boleh menyaksikan satu anjakan yang besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu dari pendidikan yang berfokuskan akses kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti," tegas beliau.

Beliau menarik perhatian bahawa pelan pembangunan pendidikan itu disediakan hasil rundingan awam secara telus dan terbuka buat julung kali dalam sejarah negara.

Ini, katanya, menunjukkan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Najib untuk menzahirkan matlamat Dasar Transformasi Nasional yang berasaskan jangkaan dan pengharapan rakyat.

Pelan itu pasti melibatkan perbelanjaan agak besar, kata Muhyiddin yang berharap Najib selaku Menteri Kewangan akan menyediakan peruntukan setimpal kepada Kementerian Pelajaran untuk melaksanakannya.

-- BERNAMA

TWEET KPM

Sorry, that page does not exist

ALAMAT

Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang
Jalan Bukit Gambir, 11700 Pulau Pinang
Tel : +604-6575500 Fax : +604-6582500

Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

GALERI SPA

Scroll to top